Bicara dari Guangzhou: Senyuman ‘amoi’ meruntun jiwa
SENYUMAN itu penawar jiwa. Juga satu sedekah yang membawa pahala kepada pemberinya.
Begitu mudah mengumpul pahala untuk masuk syurga. Itu pesan orang tua saya ketika kecil yang kemudian saya turunkan pula kepada anak-anak.
Biar dalam susah, mahupun senang, senyumlah kerana ia mampu merubah hari muram kita kepada ceria dan mungkin juga buat orang lain.
Barangkali kerana senyum, saya tidak rasa berat menjalankan tugas di sini yang masuk hari ke-15. Ya, sudah separuh bulan saya berada di Guangzhou hinggakan bau orang tempatan dan luar seperti saya ini boleh dihidu dari jauh.
Yang memimpin saya untuk terus segar adalah senyuman manis dari wajah petugas sukarelawan muda belia ini yang majoritinya adalah penuntut institut pengajian tinggi.
Saya tidak pasti sama ada mereka diarahkan untuk senyum 24 jam, tetapi kesannya cukup mendalam.
Kepala yang berserabut dan badan yang kepenatan mengejar jadual kerja padat, hingga kadang-kadang boleh terlupa hari ini Khamis, Jumaat atau Sabtu, tiba-tiba hilang dalam sekelip mata.
Hanya tiga gerakan saja dilakukan. Menyapa, merendahkan dagu dan kemudian tersenyum penuh sopan. Cukup untuk saya menamatkan hari-hari di sini dengan hati kembang berbunga.
Tapi dalam senyum ini pun ada nakalnya juga bila diselitkan dengan jelingan mata.
Paling berkesan bagi pasangan yang masih merah inai di jari, tidak kurang juga bagi suami isteri yang berjauhan. Ini dalam maknanya.
Tapi senyum yang satu ini bergerak selari dengan isyarat mata lebih berbahaya. Gundah gulana dibuatnya.
Inilah nasib yang menimpa atlet bola tampar pantai lelaki Yaman. Malang benar. Mereka mengadu tewas kepada pasukan China kerana dipukau pesona senyuman gadis manis yang bermain mata sambil mempersembahkan gabungan akrobatik dan tarian kuno China di tepi gelanggang.
Saya tidak nampak ada seninya lagi jika yang melentik-lentikkan badan itu hanya berbikini saja. Saya lebih bersimpati dengan nasib atlet Yaman tadi.
Mana tidaknya bila gelora yang berperang dalam jiwa mereka lebih panas daripada matahari yang terpacak di atas kepala. Fokus hilang melayang ke atas langit. Kuda-kuda yang dipasang habis bertaburan lari.
Barangkali ini sebahagian daripada strategi bila berdepan lawan dari kalangan negara Islam yang mengharamkan pendedahan aurat kaum wanitanya. Senyuman begini umpama senjata tanpa peluru. Lukanya makan jauh ke dalam.
Perlu juga saya beri pandangan kepada pak menteri sukan kita yang suka sangat hadir awal pada setiap temasya sukan besar sebegini. Kalau mahu dengar, ambillah iktibar.
Janganlah berkejar ke venue selepas mendapat isyarat ada atlet bakal menyumbang pingat emas. Kita tahu di sana tumpuan lensa kamera media Malaysia.
Lapangkan juga waktu ke venue-venue lain. Berikan senyuman mesra sama ada mereka menang atau kalah.
Jika beri reaksi kurang sen
ang, biarlah acara itu habis dipertandingkan. Atlet ini manusia biasa punya hati dan perasaan. Mereka ke sini kerana negara, demi negara dan untuk negara.
Sumber rujukan:
Perpustakaan BAKA IPK KEDAH
(Metro 21 November 2010)
No comments:
Post a Comment